Bayi Ini Dilahirkan 39000 Kaki Di Udara Dan Disambut Oleh Air Mata Kegembiraan Ibunya Dan Kru Penerbangan…

Seorang wanita baru-baru ini dilaporkan telah melahirkan seorang anak lelaki, pada ketinggian 39,000 kaki. Kru kapal terbang dan tiga orang doktor telah selamat membantu wanita berkenaan untuk melahirkan bayinya.

Ibu dan bayi itu kemudian dihantar ke hospital selepas pesawat membuat pendaratan di lapangan terbang terdekat.

Seorang wanita Bulgaria, Desislava, 38, mula mengalami sakit hendak bersalin selepas penerbangannya berlepas. Nasibnya baik, semasa anggota kru pesawat sedang bersiap untuk membantunya bersalin terdapat tiga orang doktor di atas kapal terbang menawarkan bantuan mereka.

Dengan bantuan doktor dan anak kapal, ibu tersebut selamat melahirkan anak lelakinya semasa penerbangan di atas Atlantik Utara.

Penerbangan Lufthansa dari Frankfurt kemudian segera mendarat di Lapangan Terbang Manchester selepas menerima kelahiran yang tidak dijangka itu. Ibu dan bayi yang selamat telah dihantar ke Hospital Wythenshawe untuk penjagaan khas.

 

Walaupun bayi lelaki itu tidak dijanjikan penerbangan percuma seumur hidup, Lufthansa mungkin mempunyai rancangan istimewa untuk bayi itu.

“Kami pasti akan memikirkan sesuatu yang baik untuknya. Dan dia akan sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati kami, ” kata Lufthansa.

Bayi itu diberi nama Nikolai sempena nama seorang doktor yang telah membantu sepanjang proses kelahiran.

Kapten Penerbangan, Kurt Mayer berkata dalam laporan DailyMail bahawa dia tidak pernah mengalami pengalaman seperti itu sepanjang kariernya selama 37 tahun.

“Selain daripada kelahiran anak saya sendiri, ini adalah momen yang paling menggembirakan dalam hidup saya.”

“Kesemua krew melakukan kerja yang luar biasa. Mereka telah melakukan kerja berkumpulan dengan sangat baik, semua orang melaksanakan tugas masing-masing. “

“Selepas mendarat, saya segera bertemu ibu dan bayi itu untuk menyambut kehadirannya ke dunia.”

“Apabila bayi dilahirkan, saya memaklumkan penumpang lain,” kata anggota kru, Carolin van Osch. Dia menambah bahawa ia adalah “momen yang sangat emosional,” dan “kami berpelukan antara satu sama lain dan menitiskan air mata kegembiraan.”

“Para penumpang bertepuk tangan dan gembira kerana semuanya berjalan lancar. Bagi pihak kru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para doktor yang membantu dan kami berharap agar keluarga itu selalu dalam keadaan baik. “

SUMBER

Leave a Comment